Minyak zaitun adalah minyak yang diperolehi dari buah yang berasal dari pokok zaitun (nama saintifiknya adalah Olea Europaea). Pokok Zaitun ini banyak ditanam di kawasan Mediterania seperti di Timur Tengah (Syria, Palestin, Labenon dan lain-lain), Itali, Sepanyol, Yunani, dan negara lain di sekitarnya.
Minyak zaitun ini bukanlah didapatkan dengan menggunakan proses yang melibatkan bahan-bahan kimia dan ianya juga bukanlah campuran daripada minyak-minyak sayuran yang lain.
Khasiatnya dalam bidang kesihatan sudahpun dikenalpasti sejak zaman dahulu lagi.
Terdapat beberapa jenis minyak zaitun bergantung kepada jenis buah zaitun yang diperolehi. Jenis-jenis minyak ini boleh dibezakan dari segi rasa dan kualiti minyak tersebut.
Sebahagian dari minyak zaitun dihasilkan dengan mencampurkan beberapa jenis buah zaitun, manakala sebahagiannya hanya diperah dari buah-buah zaitun yang sama jenisnya.
Minyak zaitun dikelaskan sebagai “virgin” jika ianya diperolehi dari buah zaitun yang asli tanpa diproses secara sintetik. Ianya dipetik, dibersih dan diperah, tanpa melalui proses yang lain seperti pemanasan yang akan menghilangkan kualiti sebenar minyak zaitun tersebut.
Kualiti minyak zaitun yang paling baik dikenali sebagai “extra virgin”.
Kebiasaannya terdapat 3 jenis minyak zaitun yang dapat ditemui di pasaran iaitu minyak zaitun extra virgin, minyak zaitun virgin dan minyak zaitun sulingan/refined.
Minyak Zaitun Extra Virgin
Minyak Zaitun jenis ini adalah minyak zaitun yang mempunyai kualiti yang paling baik. Ianya merupakan hasil ekstraksi pertama dari buah zaitun. Dari segi kimianya, ianya adalah bebas asid yang juga disebut sebagai “oleic acid” yang mana nilainya adalah tidak lebih daripada 0.8 gram bagi setiap 100 gram. Ianya dihasilkan sepenuhnya menggunakan cara mekanikal tanpa campuran lain-lain solvent/pelarut dan dibawah suhu yang tidak memudaratkan kebaikan minyak ini iaitu kurang dari 86°F, 30°C. Minyak ini tidak bagus untuk menumis atau menggoreng karena kadar minyaknya yang rendah. Minyak zaitun ekstra virgin lebih baik diambil atau digunakan dengan cara diminum atau digunakan sebagai campuran makanan seperti salad atau sayuran yang direbus.
Minyak Zaitun Murni atau “Virgin”
Minyak zaitun jenis ini merupakan hasil dari proses lanjutan minyak zaitun extra virgin. Ianya mempunyai bebas asid yang juga disebut sebagai “oleic acid” yang mana nilainya adalah tidak lebih daripada 2 gram bagi setiap 100 gram. Minyak zaitun jenis ini juga boleh digunakan sebagai campuran masakan dan untuk menumis.
Minyak Zaitun Sulingan atau “refined”
Minyak zaitun sulingan merupakan jenis minyak zaitun yang mengalami proses penyulingan lanjutan lagi. Warnanya kekuningan dan sesuai digunakan untuk menumis. Minyak zaitun jenis ini dapat ditemukan di pasaran dengan harga yang lebih murah dibandingkan dengan kedua-dua jenis minyak zaitun di atas. Ianya mempunyai bebas asid yang juga disebut sebagai “oleic acid” yang mana nilainya adalah tidak lebih daripada 3.3 gram bagi setiap 100 gram.